KUALA LUMPUR 15 Ogos – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat dua isu utama iaitu kehilangan wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya menentukan individu yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan berhubung kedua-dua isu utama tersebut.
“PAC diwujudkan di bawah Parlimen, sudah tentu kami juga bertanggungjawab terhadap institusi ini, jadi sebarang usul atau perkara yang diluluskan Parlimen akan disiasat oleh kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad di bangunan Parlimen, hari ini.
Pada 9 Ogos lalu, Ronald mengumumkan kesediaan jawatankuasa yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang untuk menyiasat tuduhan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa tabung bayaran balik GST mengalami kekurangan RM19.2 bilion, yang didakwa hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Selain itu, usul yang meminta semua maklumat berkaitan dengan siasatan 1MDB yang dilakukan Ketua Audit Negara dan PAC didedahkan kepada umum diletakkan di tempat kelima dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada PAC akan meneruskan siasatan terdahulu, Ronald memberitahu, pihaknya tidak akan mengulangi perkara yang telah disiasat sebelum ini.
“Kita kena mendapatkan taklimat daripada Ketua Audit Negara terlebih dahulu. Apa yang disiasat sebelum ini, kita akan lakukan siasatan susulan dari situ,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran menambah, hasil siasatan tersebut tidak akan dibawa ke mahkamah kerana PAC hanya bertanggungjawab terhadap Parlimen.
“Kami hanya bertanggungjawab ke atas Parlimen tetapi pastinya akan dibincangkan bersama kerana Jabatan Peguam Negara turut menyiasat dua isu tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ronald memberitahu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bakal mempengerusikan Jawatankuasa Pemilih untuk menentukan status Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad sebagai pengganti kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.











