ISTANBUL 15 Ogos – Turki hari ini mengumumkan langkah untuk meningkatkan tarif kepada dua kali ganda ke atas import dari Amerika Syarikat (AS) seperti kereta, alkohol dan tembakau dalam apa yang didakwa naib presiden negara ini sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika secara sengaja terhadap ekonomi Turki.
Langkah itu dibuat ketika meningkatnya ketegangan antara kedua-dua sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu berhubung tindakan Ankara memenjarakan tokoh agama Kristian dan pelbagai isu diplomatik lain yang menyaksikan mata wang lira merosot ke paras terendah berbanding dolar AS.
Jumaat lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau meluluskan tarif yang lebih tinggi ke atas import keluli dan aluminium dari Turki.
Satu dekri diterbitkan dalam Gazet Rasmi Turki dan ditandatangani Presiden Recep Tayyip Erdogan menaikkan tarif kepada dua kali ganda ke atas kereta penumpang kepada 120 peratus, minuman alkohol (140 peratus) dan daun tembakau kurang daripada 60 peratus.
Turki turut menggandakan tarif ke atas produk seperti kosmetik, beras dan arang batu.
“Duti import juga meningkat ke atas beberapa produk di bawah prinsip timbal balas sebagai reaksi terhadap serangan sengaja pentadbiran AS ke atas ekonomi Turki,” kata Naib Presiden, Fuat Oktay menerusi Twitter beliau.
Pertelingkahan dengan Washington mendorong lira jatuh ke paras terendah dengan mata wang itu kehilangan lebih daripada 40 peratus nilai berbanding dolar tahun ini memaksa bank pusat untuk campur tangan.
Lira kembali melantun sebanyak lapan peratus semalam didorong oleh berita tentang cadangan satu persidangan esok yang mana menteri kewangan akan menyakinkan pelabur antarabangsa.
Pasaran mengambil berat tentang pengaruh Erdogan ke atas ekonomi dan penentangannya terhadap kenaikan faedah bagi menangani inflasi dua digit.
Hari ini, lira didagangkan pada 6.4125 berbanding dolar AS, sedikit lemah semasa ditutup 6.3577 sehari sebelumnya.
Erdogan mendakwa Turki menjadi mangsa perang dagang dan membuat gesaan berulang kali kepada rakyat Turki supaya menjual mata wang dolar dan euro bagi meningkatkan mata wang.
Semalam, Presiden itu mengemukakan langkah memboikot produk elektronik keluaran Amerika. – REUTERS











