AirAsia terbang ke Kuantan 28 Oktober ini - Utusan Malaysia

AirAsia terbang ke Kuantan 28 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Ogos – AirAsia Bhd. akan memulakan semula penerbangan harian ke Kuantan, Pahang bermula 28 Oktober ini, selepas kira-kira tujuh tahun menghentikan operasi laluan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, laluan Kuala Lumpur-Kuantan tersebut akan menandakan kehadiran perkhidmatan Air­Asia di semua lapa­ngan terbang utama di Malaysia.

Beliau berkata, AirAsia sedang berkembang dengan agresif di ASEAN malah melangkaui rantau berkenaan, jadi keputusan untuk menghubungkan semua ibu kota di negara asalnya adalah tepat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami percaya penerbangan secara terus ke Kuantan ini akan memanfaatkan wilayah Pantai Timur secara keseluruhannya kerana lokasinya yang sangat ideal sebelah Kelantan dan Terengganu.

“Sambungan laluan ke Kuantan ini juga memberi peluang kepada pelanggan untuk lebih meneroka wilayah tersebut, sekali gus mengukuh­kan sektor pelanco­ngan dan ekonomi tiga negeri itu,” kata­nya dalam temubual eksklusif bersama travel360.com di sini hari ini.

Rangkaian domestik AirAsia termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Langkawi, Alor Setar, Kota Kinabalu, Kuching, Tawau, Labuan, Bintulu, Sibu, Miri, Sandakan, Ipoh dan Penang.

Menurut Riad, pelanggan dari Kuantan berpeluang mendapat lebih pilihan bagi penerbangan tambang rendah ke Kuala Lumpur untuk bersambung dengan rangkaian AirAsia ke 130 destinasi.

“Kuantan bukan sahaja menjadi laluan domestik kerana sambungan AirAsia yang baik di peringkat global akan meletakkan ibu negeri itu di dalam peta pelancongan antarabangsa,” jelasnya.

Bagi meraikan pelancaran itu, AirAsia mengadakan tawaran tambang istimewa serendah RM16 yang boleh ditempah hingga 26 Ogos ini untuk tempoh perjalanan 28 Oktober ini hingga 13 Ogos 2019.

Kuantan sememangnya ter­kenal dengan makanan termasuk puding raja, ikan bakar dan sata selain tempat-tempat menarik seperti Teluk Cempedak, air terjun Sungai Pandan dan Bukit Panorama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN