KUALA LUMPUR 15 Ogos – Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyasarkan pertumbuhan sumbangan jualan bukan bahan api meningkat kepada 30 peratus dalam tempoh dua ke tiga tahun berbanding 10 peratus ketika ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed berkata, segmen penjualan bahan api buat masa ini merupakan penyumbang utama kepada pendapatan keseluruhan sebanyak 90 peratus.
Katanya, PDB sentiasa mencari strategik mempelbagaikan perniagaan dan perkhidmatan yang dapat meningkatkan jualan seterusnya memberi manfaat kepada pemegang saham.
Jelas beliau, antara inisiatif lain termasuk mempelbagaikan tawaran di stesen minyak Petronas, menambah kecekapan penyelenggaraan stesen dan mencipta pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
“PDB juga bekerjasama dengan Common Ground, peneraju terbesar industri ruangan kerja bersama Malaysia dalam memupuk pertumbuhan ekosistem syarikat permulaan dengan menyediakan platform kondusif.
“Ia bertujuan memberi fokus dan bimbingan kepada syarikat permulaan seterusnya membolehkan mereka untuk mencipta perkhidmatan yang relevan kepada perniagaan PDB,” katanya kepada pemberita selepas melawat Common Ground di sini hari ini.
Kerjasama itu memberi penekanan kepada prinsip asas pelan PDB dalam mentransformasikan stesen Petronas di Jalan Kolam Air Lama, Ampang kepada hab inovasi yang turut dikenali sebagai The Place@ Ampang.
Program itu dilaksanakan di Common Ground Ampang, lokasi terbaharu setakat ini meliputi ruangan bersaiz 6,792.47 meter persegi dilengkapi ruangan acara dan bilik mesyuarat.
Syed Zainal berkata, selain stesen Petronas Ampang, pihaknya merancang untuk melaksanakan transformasi kepada enam lagi stesen Petronas yang dilihat berpotensi seperti di Shah Alam dan Johor Bahru.











