KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) membangunkan empat projek dengan keseluruhannya mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, dua daripada projek tersebut adalah bangunan pejabat yang terletak di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Katanya, dua lagi projek ialah hospital KPJ Healthcare Berhad (KPJ) dengan 300 katil di Sungai Penchala dijangka siap akhir 2019 dan merupakan rangkaian hospital KPJ terbesar setakat ini manakala pusat beli-belah di Terengganu pula dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Jadi dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, ia akan menyaksikan beberapa pelancaran projek baharu yang pastinya juga akan disuntik dalam dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) apabila mencapai tempoh matang.
“Kami juga akan membuat pelancaran baharu sama ada pada 2019 atau 2020 apabila kami membeli beberapa aset yang pastinya akan memberi nilai tambah kepada para pelabur dana ini,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran inisiatif baharu, cabutan hadiah “Simpan, Labur dan Menang” di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PHB, Mohd. Fadzil Maruwan; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM), Ahmad Najib Nazlan dan ikon PHB, selebriti terkenal, Neelofa.
Menurut beliau, setakat ini, PHB mempunyai keseluruhan 19 aset hartanah terdiri daripada pusat logistik, pusat beli-belah, bangunan pejabat dan hospital dengan buat masa kini sedang menilai beberapa projek bersesuaian.
“Jika dilihat semula, dalam tempoh beberapa tahun ini kami sudah pun memulakan projek pembangunan di tanah milik kami sendiri. Selain itu kami terus menimbang untuk membeli aset-aset bersesuaian serta akan membangunkan hartanah kami sendiri,” katanya.
Mengenai inisiatif “Simpan, Labur dan Menang”, Kamalul Arifin berkata, ia menawarkan hadiah berupa unit AHB bernilai sehingga RM400,000 untuk para pemenang sebagai satu daripada usaha untuk memperkasa pemilikan bumiputera dalam pasaran hartanah di lokasi utama seluruh negara.
Katanya, pemegang unit AHB yang memiliki baki minimum 1,000 unit dalam akaun mereka untuk tempoh enam bulan bermula 1 Oktober 2018 hingga 31 Mac 2019 akan disenaraikan secara automatik sebagai peserta untuk satu cabutan rambang yang akan dilakukan oleh Pengurus Cabutan, Dynamic Search Sdn. Bhd. yang dilantik PHB dan MAM.
“Pemegang unit layak mendapat satu penyertaan bagi setiap 1,000 unit yang dikekalkan sepanjang tempoh peraduan. Semua penyertaan dikira berdasarkan purata baki minimum sepanjang enam bulan. Oleh itu, pemegang akaun baharu juga boleh menyertai cabutan ini dengan syarat harus membuka akaun AHB sebelum 1 Oktober 2018,” katanya.











