BAGAN DATUK 15 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan wajar mengkaji semula keputusan menangguhkan projek pembangunan di Bagan Datuk demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat yang amat dahagakan pembangunan setelah sekian lama terpinggir.
![]() |
|
KHALID ISMAIL
|
Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Dr. Khalid Ismail berkata, perbezaan fahaman politik tidak patut dijadikan ukuran dalam membangunkan infrastruktur bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.
“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beberapa projek yang menjadi fokus pembangunan di Bagan Datuk seiring dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN5O) dengan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.
“Namun begitu, setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri, kira-kira sembilan projek pembangunan di daerah Bagan Datuk akan ditangguhkan,” katanya ketika ditemui ketika meninjau projek pembinaan jambatan Bagan Datuk ke Sejagop di muara Sungai Perak, di sini semalam.
Antara projek pembangunan yang ditangguhkan itu termasuklah kerja-kerja peluasan jalan empat lorong ke Bagan Datuk, pembinaan politeknik, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kompleks sukan, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), perpustakaan digital, kilang perindustrian automatif dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk.
Dalam pada itu, Khalid berkata, beliau bagaimanapun bersyukur kerana terdapat beberapa projek yang sempat disiapkan sepenuhnya seperti Bagan Datuk Waterfront, Jeti Bagan Datuk, kawasan riadah dan taman rekreasi kanak-kanak di Hutan Melintang.
“Jambatan Bagan Datuk ke Sejagop juga diteruskan kerana telah melintasi 10 peratus siap,” katanya.












