KUALA LUMPUR 15 Ogos – Semakin dikenali ramai sejak membintangi drama Nur siaran pada Ramadan lalu, Riena Diana, 21, yang membawakan watak Deja mendedahkan dia pernah menerima cemuhan dan kritikan hebat daripada warganet.
Menurutnya, walaupun sudah lebih sebulan berlalu, penangan drama terbitan Radius One itu meninggalkan impak berbeza terhadap karier lakonannya dan tetap memanjatkan rasa syukur atas situasi tersebut.
“Tak dinafikan, mendukung imej gadis bertudung dalam drama itu yang bertentangan dengan personaliti sebenar ada risikonya.
“Cuma yang tak tahan, apabila ada peminat baharu bertindak melulu mengecam imej sedia ada saya yang tidak bertudung.
“Namun saya tidaklah marah, malah saya faham dengan senario ini kerana mereka tidak mengenali saya,” katanya.
Dalam pada itu, pemenang DFKL 2017 berkenaan berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Pelakon kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu yang kini berlakon dalam drama Cinta Lemon Madu turut berterima kasih kepada semua pihak yang mempercayai bakat lakonannya.
“Alhamdulillah, semakin hari karier lakonan saya semakin berkembang dengan baiknya,” ujar pemilik nama sebenar Nur Qamariena Diana Zulreal itu. – UTUSAN ONLINE











