JAKARTA 15 Ogos – Kesilapan hantaran-hantaran akhir selain serangan balas pantas lawan membuatkan pasukan bola baling lelaki negara gagal ke aksi suku akhir Sukan Asia selepas tewas kepada Iran dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Popki Cibubur, di sini hari ini.
Pasukan negara tewas 11-55 kepada Iran dan ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas kepada Qatar 11-64 dalam aksi pertama, kelmarin sekali gus gagal meraih sebarang mata.
Malaysia berdepan masalah ketika melakukan serangan dan sering melakukan kesilapan sewaktu melakukan hantaran terakhir sewaktu berada di hadapan gawang, sekali gus melenyapkan harapan menjaringkan gol.
Kegagalan itu dimanfaatkan sepenuhnya pasukan lawan dengan memintas hantaran-hantaran akhir sebelum melakukan serangan balas pantas dengan menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki.
Paling menarik, penjaga gawang Iran, Mohsen Babasafari dilihat sempat keluar gelanggang untuk minum air sambil berbual dengan penjaga gol simpanan, Ali Rahimi ketika perlawanan sedang berlangsung sambil membiarkan gawangnya tidak dikawal.
Bagaimanapun skuad kebangsaan tidak seharusnya dibandingkan dengan jaguh-jaguh dunia lain seperti Qatar kerana kebanyakan pemain negara hanyalah atlet separuh masa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. – UTUSAN ONLINE











