UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil cakna keperluan untuk universiti dan komuniti setempat, khususnya yang berada di sekitar kampus sentiasa mempunyai rasa kebersamaan dan menghargai antara satu sama lain.
Melihat terdapat pelbagai platform untuk mendekatkan kampus dengan masyarakat sekitar, Pusat Libatsama Masyarakat dan Hubungan Industri (PLMJI) USIM menganjurkan program #DariHatiUSIM baru-baru ini. Julung kali dianjurkan, #DariHatiUSIM bertemakan “Menyantuni Masyarakat” bertempat di pekarangan Dewan Tuanku Canselor, Nilai Negeri Sembilan.
PLMJI mengambil inisiatif menganjurkan program ini kerana ia selari dengan hasrat universiti bagi melahirkan warga kampus yang prihatin.
Penganjurannya juga membuka peluang untuk kakitangan USIM menyantuni masyarakat yang hadir secara lebih dekat, sekali gus merapatkan hubungan USIM dengan pihak komuniti untuk manfaat bersama.
“Program #DariHatiUSIM ini telah bermula pada Jun lalu dengan kempen #DariHati yang berkonsepkan pengumpulan pakaian dan barangan terpakai yang disumbangkan oleh kakitangan USIM.
“Diadakan bersempena bulan Ramadan, ia merupakan satu inisiatif penganjur membantu golongan yang memerlukan selain akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan juga komuniti sekitar USIM yang kurang berkemampuan,” ujar Pengarah PLMJI, Profesor Madya Dr Awangku Abdul Rahman Awangku Yusuff.
“PLMJI menyambut baik apa sahaja program berbentuk sebegini kerana kita sendiri ditubuhkan oleh universiti dengan hasrat untuk menjadi jabatan yang dapat memfokuskan secara langsung dan berterusan kepada usaha jalinan strategik dengan industri dan masyarakat” tambahnya.
Pada program ini, kira-kira 100 orang penduduk sekitar hadir sebagai tanda sokongan #USIMDiHati serta berpeluang memilih pakaian terpakai dengan percuma yang masih elok dan boleh dipakai. Antara pakaian yang menarik perhatian adalah baju, seluar, pakaian kanak-kanak dan bayi serta kelengkapan rumah lain telah diasingkan mengikutkan jenis bagi memudahkan pengunjung.
Sempena program ini juga, Naib Canselor USIM, Profesor Dato Dr. Musa Ahmad turut meluangkan masa melancarkan program ini yang diadakan secara berkala selepas ini.
Turut diadakan dalam program ini ialah Sesi Dialog Naib Canselor bersama Ketua Komuniti yang dijemput ke program ini. Terdiri daripada Pengerusi-Pengerusi Taman Penduduk sekitar USIM, sesi yang berlangsung santai ini juga turut dihadiri pengurusan universiti iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Roshada Hashim dan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamad Arifin.
Sementara itu, USIM pada April lalu, telah berjaya mengadakan Majlis Santapan Diraja bersama Rakan Industri di Putrajaya sebagai menghargai pihak-pihak industri yang sentiasa menyokong universiti dalam pelbagai bentuk khususnya berbentuk kewangan.
Majlis Santapan Diraja ini juga diurusetiakan oleh PLMJI.- MOHD ZAINI OTHMAN











