KUALA LUMPUR 15 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan parti sejak meletak jawatan sebagai Presiden.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh beliau setakat ini hanya untuk mempertahankan dasar yang diperkenalkannya semasa menjadi Perdana Menteri.
“Saya rasa tidak timbul sebarang masalah, sejak saya meletak jawatan, saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran parti. Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga bebas untuk membuat keputusan, sebagai contoh dalam hal jawatan dalam parti, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan lain-lain lagi.
“Saya menyokong beliau (Ahmad Zahid) sebagai Presiden baharu dan memberi kerjasama tetapi saya juga berhak mempertahankan segala dasar diperkenalkan oleh saya dan memberi gambaran jelas terhadap salah faham serta beberapa manipulasi fakta dan angka yang didakwa kerajaan baharu ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meminta Najib menjarakkan diri daripada UMNO.
Katanya, beliau bersetuju dengan saranan penulis pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu supaya Najib memberi ruang kepada kepemimpinan UMNO sedia ada untuk meneruskan perjuangan parti dengan wajah baharu. – UTUSAN ONLINE











