KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan perniagaan kedai runcit di Telipok Ria di sini pada Julai lalu.
Tertuduh, Hassan Fazle Mabul berusia 26 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azreena Aziz.
Mengikut pertuduhan, Fazle telah melanggar syarat pas dengan menjalankan perniagaan di Kedai Runcit Aziz Enterprise Fasa 1, Blok B, Tingkat 1 Telipok Ria di Tuaran dekat sini pada pukul 2 petang, 28 Julai lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh telah menetap di Sabah bersama keluarganya sejak 26 April lalu.
Pada prosiding tersebut pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Albert Basirin manakala tertuduh diwakili peguam, Azhier Farhan Arisin.
Mahkamah menetapkan tertuduh membayar denda sebanyak RM800 atau berdepan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal.
Tertuduh membayar denda tersebut. – K! ONLINE











