KUANTAN – Dua anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes menerima suapan bernilai RM4,000 daripada seorang peniaga rokok seludup di Kuala Lipis, September dua tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Shahfiq Khadiran, 26, dan Muhamad Norlizam Ali, 32, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka dihadapan hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.
Mengikut kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Lipis bersama-sama pada 23 dan 24 September 2016 kira-kira 10 hingga 10.30 malam dengan sengaja menerima suapan bernilai RM3,000 serta RM1,000 daripada Yew Joo Sim dan rakannya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki rokok seludup.
Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu, Jalan Felda Kechau ke Bandar Lipis berhampiran jalan masuk ke Pahang Club dan Restoran Lipis Chapati House di Taman Cahaya, Kuala Lipis.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mohd. Ghazali menetapkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan pada setiap tertuduh dan tarikh 14 September depan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd. Khairulzaman Ghazali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Saifuldin Ab. Rahman.- K! ONLINE











