KUALA LUMPUR 15 Ogos – Seorang guru tarian kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan menghina dengan melepaskan tujuh belon kuning dalam satu majlis yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian terhadap Bilqis Hijjas, 39, selepas pihak pendakwaan memberitahu mereka tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan yang dikemukakan terhadap perintah lepas dan bebas terhadap wanita itu oleh Mahkamah Majistret tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didakwa menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan yang mungkin menyebabkan keamanan terganggu di pusat beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, kira-kira pukul 3.15 petang, 31 Ogos 2015.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











