PETALING JAYA – A&W (Malaysia) Sdn. Bhd., pengendali rangkaian restoran makanan segera A&W memperuntukkan perbelanjaan modal bernilai kira-kira RM8.4 juta pada tahun ini bagi membuka tujuh cawangan di Semenanjung Malaysia.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hasmadi Zainal berkata, setakat ini, terdapat 41 cawangan A&W di semenanjung negara ini.
“Pada bulan ini, kami akan membuka cawangan di Evo Mall, Bangi; Selangor dan Paradigm Mall, Johor Bahru.
Berita berkaitan:
“Ini akan diikuti dengan lima lagi cawangan pandu lalu yang akan dibuka sehingga akhir 2018 iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu masing-masing di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah bagi peraduan La Mole Burger di restoran A&W Kota Damansara di sini semalam.
Sementara itu, Mohd. Hasmadi berkata, bagi separuh kedua tahun ini, A&W mencatatkan pertumbuhan jualan yang memberangsangkan berbanding tahun lepas.
“Ia didorong oleh pengenalan konsep restoran yang lebih segar berserta hiasan dalaman yang lebih menarik bagi menarik lebih ramai pelanggan.
“Selain itu, kami juga memberi fokus untuk membuka cawangan yang mampu memuatkan lebih ramai pelanggan iaitu sekitar 3,000 kaki persegi (279 meter persegi),” ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai peraduan La Mole Burger, seramai 30 pelanggan bertuah menerima ganjaran keseluruhan bernilai RM10,000.
Dilancarkan pada 6 Mac 2018, peserta perlu mengumpul empat pelekat yang disediakan ekoran pembelian set hidangan La Mole Burger.
Mereka juga perlu mencipta slogan mengenai rasa menu tersebut bagi merebut peluang kemenangan.











