TIDAK RUGI HIDUP AMAN, HARMONI - Utusan Malaysia

TIDAK RUGI HIDUP AMAN, HARMONI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH makna mer­deka daripada pengertian yang lebih luas ber­kaitan diri?

Tidak kira sama ada seseorang itu bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau lain-lain etnik, faktor yang menjamin maju atau mundurnya sesuatu kaum adalah keupayaan mengekang diri daripada amalan ra­suah.

Jaminan kunci kemajuan adalah sesiapapun pun harus membasmi gejala ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam menongkah cabaran Malaysia Baharu menjelang sam­butan Hari Kebangsaan 2018 tidak lama lagi, rakyat harus memiliki sikap amanah, rajin, berani, setia dan berdisiplin.

Sikap-sikap inilah yang tumbuh meresap dipraktikkan dalam kalangan pemimpin atasan dan menengah yang berjaya membangunkan negara-negara seperti Jepun (dengan Bushidonya), Korea Selatan (dengan Hwarangnya) dan Taiwan (dengan Jinsheng­nya).

Apatah lagi kalau bercakap tentang perihal sikap orang Melayu. Selagi orang Melayu tidak merubah sikap mereka dan me­ngamalkan nilai-nilai murni sebagai panduan hidup dan perjua­ngan, mereka tidak mungkin bo­leh menyaingi orang lain di negara ini.

Dalam mengharungi cabaran semasa hari ini, tidak rugi sekiranya orang Melayu mengutip buah pemikiran orang lama yang kaya pengalaman antaranya tokoh po­litik Melayu, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid semasa menjadi ahli panel dalam Simposium Dilema Melayu di ibu negara pada 12 Februari 2011.

Kata Allahyarham, untuk me­­ngelak daripada bahaya kelalai­an dalam kalangan bangsa Me­layu apabila mereka tidak dapat membezakan atau merasakan perbezaan antara Cina, India dan Melayu kerana hanya ada satu bahasa, menggunakan satu nama walaupun berbeza agama, maka dicadangkan dikekalkan Cina dan India dengan identiti mereka se­perti sekarang.

Ini semua supaya akan sentiasa nampak perbezaan pencapaian semua kaum dalam sektor ekonomi dan pendidikan pada setiap masa. Dengan mengekalkan sekolah Cina dan India dan memanfaatkan kewujudannya, men­jadikan perbezaan antara semua kaum sebagai ukuran atas kegagalan atau pencapaian orang Melayu.

Dengan itu, kata Allahyarham, orang Melayu tidak akan lalai sehingga sanggup mengorbankan kuasa politiknya se­perti (suatu ketika) ke­tua pentadbiran negara di Filipina (Presi­den) dan Thailand (Per­­dana Menteri) ada­lah daripada keturunan Ci­na walau pun majoriti rakyatnya bukan Cina dan kedudukan ekonomi bumiputera Filipina dan bumipu­tera Thailand masih jauh ketinggalan.

“Hanya apabila ba­ng­­sa Me­layu dapat me­­­lihat dengan jelas be­tapa jauh tinggalnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan, jika dibandingkan dengan bukan Melayu, ba­rulah mereka akan ber­usaha jika mereka betul-betul sedar un­tuk mengekalkan kua­sa politik bagi membolehkan me­reka membuat dasar yang boleh membantu mengimbangkan ke­dudukannya dengan Cina dan India,” kata Sanusi.

Di sebalik itu, ada eloknya pada hemat penulis untuk semua kaum terutama masyarakat Cina bersama-sama mengharmonikan negara ini. Janganlah ‘diusik-usik’ sangat Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang ada.

Kita tabik dengan ketegasan kerajaan negeri Perak kelmarin yang menetapkan pendirian bahawa cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru bercanggah dengan Perlembagaan.

Perakuan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) itu diyakini menjawab tohmahan terhadap kerajaan negeri yang barangkali ‘berjangkit’ kepada Kerajaan Pusat.

Kata Ahmad Faizal lagi, semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Dan keputusan itu sekali gus mengikat semua negeri di Semenanjung seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

Realitinya, kaum Cina harus bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini. Negara aman tenteram sehinggakan dunia barangkali terkejut dengan peralihan kuasa yang lancar melalui demokrasi 9 Mei lalu.

Pendidikan kaum Cina dijamin kerajaan sedia ada. Kalau diamati dengan fakta pun, tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang membenarkan sekolah vernakular berasingan ditubuhkan di negara mereka. Kita tidak dapati sekolah-sekolah Cina di Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia meskipun mereka juga mempunyai ramai penduduk Cina. Di Thailand, Filipina dan Indonesia mereka tidak perlu program 1Thailand, 1Filipina atau 1Indonesia untuk menyatupadukan rak­yat kerana rakyat mereka memang bersatu kerana tidak ada sekolah vernakular yang berasi­ngan.

Banyak negara yang dulunya dijajah, kini masih tidak aman politiknya dan tidak maju eko­nominya. Sebelum merdeka, ne­gara-negara ini menyalahkan pen­jajahan tetapi bila sudah mer­deka, mereka bergaduh sesama sendiri.

Malaysia diyakini akan terus menongkah cabaran tahun-tahun mendatang ini dengan langkah strategis. Meminjam kata-kata Allah­yarham Sanusi sebagai ung­kapan memperteguh dan mengharmonikan jati diri bersesuaian tema Hari Kebangsaan Sayangi Malaysiaku:

“Rasuah ialah faktor yang bo­leh menyelewengkan sesuatu tin­dakan daripada matlamatnya. Kita ti­dak boleh salahkan orang lain jika kita rasuah. Orang-orang yang memberi rasuah, walaupun bersalah, sebenarnya tidak akan memberi rasuah kecuali untuk mu­dah mendapatkan sesuatu yang mereka tidak akan peroleh tanpa memberi rasuah.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN