Najib perlu jarakkan diri daripada UMNO – Mohamed Nazri - Utusan Malaysia

Najib perlu jarakkan diri daripada UMNO – Mohamed Nazri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang terkenal de­ngan sikap berani dan lantang bersuara secara terbuka hari ini meminta Datuk Seri Najib Tun Razak menjarakkan diri daripada UMNO.

Mohamed Nazri Aziz

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau bersetuju de­ngan saranan penulis pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu supaya Najib memberi ruang kepada kepe­mimpinan UMNO sedia ada untuk meneruskan perjuangan parti dengan wajah baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, bekas Perdana Menteri itu perlu memberi ruang sepenuhnya kepada Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memimpin parti terbesar orang Melayu itu.

“Ini bukan soal setia atau tidak, tetapi ini soal sayangkan parti. Apa­tah lagi Najib sekarang didakwa, jadi kalau beliau tidak lepas sepenuhnya kepada Ahmad Zahid, UMNO sukar hendak bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut bersetuju de­ngan kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa Najib harus mengikuti tindakan bekas Perdana Menteri sebelum ini seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memberi peluang pemimpin baharu parti memimpin.

Nazri juga secara terbuka me­nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan rekod dirinya yang sepanjang berada dalam bidang politik tidak pernah melawan atau menentang Perdana Menteri.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO membe­ritahu, sokongan itu disuarakan kerana masyarakat telah membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, justeru Dr. Mahathir perlu diberi peluang memimpin sekurang-kurangnya dua tahun.

“Tiada masalah, beliau Perdana Menteri saya dahulu. Saya tak pernah tinggalkan UMNO, beliau tinggalkan UMNO tapi beliau sekarang Perdana Menteri, kita kena sokong, saya tiada rekod lawan Perdana Menteri.

“Selama 28 tahun saya berada dalam kerajaan, jadi selepas tempoh tersebut saya hendak membangkang kerajaan, agak susah melainkan mereka ada membuat kesalahan, lagipun saya memang tiada budaya menentang Perdana Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri berkata, beliau juga menyokong langkah Dr. Mahathir mengarahkan beberapa agensi penguatkuasaan mendedahkan tentang kes SRC International Sdn. Bhd.

Beliau turut menyatakan pe­rasaan terkejut apabila mengetahui mengenai pendedahan dan pembongkaran berhubung laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN