Pertumbuhan KDNK 2018 diunjur sederhana - Utusan Malaysia

Pertumbuhan KDNK 2018 diunjur sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Ke­lua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan antara 5.1 hingga 5.2 peratus de­ngan suku kedua dijangka tumbuh 5.1 peratus.

Ketua Ekonomi Kumpulan CIMB Holdings Bhd., Dr. Donald Hanna berkata, keadaan itu bukan sahaja disebabkan konflik ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan China tetapi juga kelembapan dalam pasaran global sejak separuh kedua 2017.

Katanya, ia boleh dilihat pada indeks pengeluaran global (IP) Malaysia yang mencatat pertumbuhan perlahan pada 1.1 peratus tahun ke tahun pada Jun yang turut memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam masa sama, kemung­kinan berlakunya perang dagangan AS dan China juga akan menjejaskan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 1.3 peratus daripada pertumbuhan yang diunjurkan dalam tempoh dua tahun.

“Keadaan ini tidak mustahil berlaku jika perang tarif tetap berterusan menggugat keyakinan dalam pasaran kewangan dan secara tidak langsung me­ngurangkan perdagangan global yang akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka,” katanya dalam siri run­dingan meja bulat ASEAN mengenai Perang Dagangan dan Kesannya ke atas ASEAN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Majid; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Muhammad Noor Yacob; Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), Roberto Benetello dan Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Siobhan Das.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi ekonomi negara pada Jumaat ini. Pada suku pertama 2018, ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus didorong oleh aktiviti sektor swasta yang berterusan iaitu 5.2 peratus dan pertumbuhan eks­port bersih yang kukuh pada 62.4 peratus.

Sementara itu, Benetello berkata, rantau ASEAN lebih ba­nyak bergantung kepada eksport ke China berbanding AS yang akan menyaksikan tarif AS ke atas produk elektronik China akan memberi impak negatif kepada Singapura dan Malaysia.

Katanya, ini kerana kedua-dua negara ASEAN tersebut paling banyak terlibat dalam rangkaian bekalan produk elektronik.

“Sebahagian besar eksport Malaysia dipacu menerusi ju­a­lan produk elektronik dan jentera ke China. Sehubungan itu, pertumbuhan KDNK bagi Si­ngapura dan Malaysia dijang­ka menurun 0.3 peratus, berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Oversea-Chinese Banking Group,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN