KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pendaftaran bagi Caruman Sukarela Suri (i-Suri) boleh dilakukan berkuat kuasa hari ini (Rabu).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, pembukaan pendaftaran i-Suri adalah susulan pelancaran insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu.
Menurutnya, individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat seperti ahli KWSP lain termasuk dividen tahunan ke atas simpanan persaraan.
“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) boleh menyertai i-Suri dengan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan sekali gus melayakkan mereka menerima insentif RM40 setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengikut statistik e-Kasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu dan 28,116 ibu tunggal layak menerima insentif itu dengan mendaftar i-Suri. – K! ONLINE











