Peluang terbaik cipta sejarah - Utusan Malaysia

Peluang terbaik cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menaruh harapan tinggi skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia yang akan mem­buka tirainya 18 Ogos ini.

Mirnawan, 46, percaya Malaysian Tigers mempu­nyai kebolehan untuk merea­lisasikannya, sekali gus mencipta sejarah baharu arena hoki negara dengan memperbaiki pencapaian terbaik di pentas Sukan Asia iaitu pingat perak pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Ia juga membolehkan anak-anak buah Stephen Van Huizen layak auto­matik pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas kali terakhir Malaysia bermain di pentas berprestij tersebut pada tahun 2000 di Sydney, Australia ketika Mirnawan masih beraksi sebagai penyerang kebangsaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya sudah lama saya mahu berkongsi perasaan, pe­ngalaman dan harapan kepada pasukan hoki lelaki. Jadi, hari ini lebih kepada sesi luahan hati ke hati dengan para pemain memandangkan saya juga bekas pemain kebangsaan.

“Saya berkongsi de­ngan para pemain agar dapat menaikkan sema­ngat mereka supaya fokus ke arah mencapai objektif pada Sukan Asia iaitu mencatatkan sejarah baharu menang pingat emas buat kali pertama dan la­yak ke Sukan Olimpik 2020 tercapai.

“Skuad negara mempunyai dua peluang untuk layak pada Sukan Olimpik 2020. Sukan Asia 2018 adalah peluang pertama dan ia sudah ada di depan mata. Jadi, saya harap para pemain memanfaatkan peluang ini dengan cara lebih mudah,” katanya.

Mirnawan yang pernah dianggap antara penyerang terbaik dunia berkata demikian pada sesi latihan terakhir Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam sebelum berlepas ke Indonesia esok.

Turut hadir Pre­siden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr. S. Shamala.

Skuad negara yang kini menduduki ranking No. 12 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakis­tan, Bangladesh, Oman, Thailand dan Kazakhstan manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Korea Selatan, Jepun, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN