Jaguh dunia berlatih di Malaysia - Utusan Malaysia

Jaguh dunia berlatih di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAGUH dunia dari Kazakhstan, Olga Rypakova menjadikan Malaysia sebagai pusat latihan terakhir sebelum mempertahankan pingat emas miliknya dalam acara lompat kijang wanita pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Walaupun Rypakova, 33, cuma berlatih di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Ja-lil, Kuala Lumpur sejak kelmarin, namun ia dilihat bermanfaat buat para atlet negara terutamanya dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.

Apa tidaknya, Rypakova me­rupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 dan gangsa Sukan Olimpik 2016. Dia juga meraih tempat kedua dan ketiga pada Kejohanan Olahraga Dunia sejak 2011 selain memegang status sebagai juara bertahan Sukan Asia sejak edisi 2010.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atlet lompat jauh dan kijang kebangsaan, Noor Shahidatun Nadia Mohammad Zuki me­ngakui banyak perbezaan antara dirinya dengan Rypakova selepas berpeluang melihat sendiri corak latihan pemegang rekod lompat kijang Asia dengan catatan 15.25 meter (m) itu.

“Dia cuma berlatih di tempat yang sama (Stadium Mini MSN) tetapi program berbeza, tidak sama dengan saya. Sekarang saya dapat melihat sendiri corak latihannya kerana sebelum ini cuma menonton menerusi video sahaja.

“Dia atlet bertaraf dunia, sudah tentu terlalu banyak perbezaan antara saya dengan dia. Namun, saya dapat beberapa input berguna walaupun cuma melihat corak latihannya sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Input tersebut sedikit seba­nyak dapat membantu persediaan Nadia, 22, untuk memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan 6.29m milik Noor Amira Mohamad Nafiah dalam beberapa kejohanan selepas ini.

“Sebenarnya saya sudah berjaya mencapai jarak 6.29m pada Terbuka Kuala Lumpur baru-baru ini tetapi ia dibatalkan. Jarak 6.18m pada kejohanan itu adalah catatan tahunan terbaik saya selepas dua tahun.

“Saya sudah mendapat rentak dan berharap dapat mengekalkannya, sekali gus cuba memadam rekod kebangsaan pada kejohanan seterusnya,” jelas Nadia yang menjadikan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 di Myanmar pada November depan sebagai kejohanan utama tahun ini.

Bagaimanapun, Nadia tidak akan mewakili Malaysia pada Sukan Asia 2018 dengan wa­kil kontinjen olahraga negara dalam acara lompat kijang akan digalas pemegang rekod Sukan SEA dan kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail.

Dalam perkembangan sama, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim kurang senang dengan keha­diran atlet-atlet Kazakhstan berlatih di Stadium Mini MSN yang dilihat mampu menjejaskan persiapan kontinjen olahraga negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN