PUTRAJAYA 14 Ogos – Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pemantauan ke atas makanan di pasaran tempatan dan di semua pintu masuk negara berhubung tular isu lambakan udang galah murah yang membawa kesan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan , Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjalankan pemantauan itu menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) selain bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular dalam media sosial berkaitan lambakan udang galah murah di negara ini yang didakwa telah menyebabkan gatal-gatal, badan bengkak, bengkak hidung, mata berair serta cirit-birit dan muntah.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sejak 1 Januari 2005, semua konsainan udang termasuk udang galah yang diimport perlu disertai dengan Sijil Kesihatan yang memberi jaminan bebas bahan terlarang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport terlibat.
“Bagi tujuan pemantauan, pada tahun 2017, sejumlah 183 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara manakala sejumlah 56 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara bagi tempoh Januari sehingga Julai 2018.
“Kesemuanya telah didapati mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.
Ujar beliau, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM di www.facebook.com/bkkmhq – UTUSAN ONLINE











