Polis tumpas pengedaran dadah di ibu negara - Utusan Malaysia

Polis tumpas pengedaran dadah di ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu dengan menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM31,000 di Taman Abadi Indah, di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Adnan Azizon berkata, lelaki berumur 24 tahun itu ditahan di kawasan tempat letak motosikal taman itu dan pemeriksaan pada badan suspek menemukan empat peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat tiga gram.

Menurutnya, tangkapan tersebut membawa kepada serbuan ke sebuah kondominium di taman itu dan menemukan empat peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 435 gram serta 51 paket plastik disyaki syabu seberat 478 gram.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah rampasan heroin tersebut boleh digunakan kira-kira 870 orang manakala syabu itu pula boleh membekalkan kepada 478 orang.

“Selain itu, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM2,200,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Adnan berkata, suspek yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran ddah tersebut direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN