KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kerajaan perlu memikirkan mekanisme untuk mencari pendapatan tambahan bagi melunaskan tuntutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan bayaran balik lebihan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang masih tertunggak.
![]() |
|
LOKMAN NOOR ADAM
|
Bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tunggakan berkenaan bermakna kerajaan kini berhutang dengan rakyat.
Kerajaan Pakatan Harapan, ujarnya, tidak akan terbeban dengan RM19.2 bilion tuntutan GST dan RM10 bilion lebihan bayaran cukai LHDN jika tidak mengambil keputusan memansuhkan GST.
Tambah beliau, pemansuhan GST sejak 1 Jun lalu sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan bulan hadapan meletakkan kewangan negara dalam keadaan tertekan ekoran kehilangan pendapatan kira-kira RM11 bilion.
“Oleh itu kerajaan perlu mencari jalan untuk menjelaskan ‘hutang’ kepada rakyat berjumlah kira-kira RM30 bilion itu.
“Jika kerajaan membayar tuntutan GST dan lebihan potongan cukai pendapatan dengan menggunakan segala dana yang ada, ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Tambah beliau, jika GST tidak dimansuhkan, kerajaan pasti tidak terbeban kerana ia menjana pendapatan kira-kira RM3.8 bilion sebulan dan dapat diguna untuk membayar tuntutan oleh peniaga.
“Tuntutan itu akan mengurangkan pendapatan negara sekaligus memberi impak yang sangat negatif kepada ekonomi,” ujarnya.
Utusan Online hari ini memetik sumber sebagai berkata, kerajaan masih gagal membayar lebihan potongan cukai pendapatan yang bernilai RM10 bilion dan pada masa sama RM19.2 bilion bayaran balik GST perlu dilunaskan segera kepada peniaga. – UTUSAN ONLINE












