Lima kilang proses makanan kotor diarah tutup - Utusan Malaysia

Lima kilang proses makanan kotor diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 14 Ogos – Lima buah kilang memproses makanan di daerah Kinta diarah tutup kerana didapati kotor dalam Operasi Premis Makanan Tidak Suci peringkat negeri, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri di 12 buah kilang memproses makanan melibatkan seramai 24 orang anggota dan pegawai.

Menurutnya, daripada 12 kilang yang diperiksa, lima buah premis didapati tidak menjalankan pengendalian memproses makanan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas menjalankan pemeriksaan, didapati premis berkenaan kotor, penyimpanan bekalan makanan tidak mengikut peraturan dan penyediaan makanan yang tidak teratur.

“Kelima-lima premis ini telah diperintah tutup selama 14 hari dan pemiliknya dikehendaki hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang roti di Kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini hari ini.

Menurut Sivanesan, perintah penutupan kelima-lima premis itu dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula hari ini hingga 28 Ogos depan.

Beliau berkata, penutupan kelima-lima premis itu untuk keselamatan orang awam.

“Sepanjang tempoh premis ditutup, pemiliknya boleh menambahbaik kilang mereka dan boleh beroperasi seperti biasa selepas Jabatan Kesihatan berpuas hati dengan tahap kebersihan premis mereka,” katanya.

Sementara itu, Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan negeri telah mengeluarkan tiga notis kegagalan tanggungjawab daripada pengusaha kilang kepada pemilik premis.

“Tiga notis itu dikeluarkan kepada tiga pemilik kilang makanan selepas mendapati ada pekerja mereka tidak menghadiri latihan kursus pengendalian makanan dan serangan makhluk perosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN