Kristian, Buddha tidak sisih LGBT - Utusan Malaysia

Kristian, Buddha tidak sisih LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Amalan hidup songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diakui salah dalam ajaran Kristian dan ajaran Buddha, tetapi itu tidak menjadi alasan untuk mereka disisihkan oleh penganut serta pengikut kedua-dua agama berkenaan.

Walaupun tidak bersetuju dengan amalan hidup golongan berkenaan, penganut dan pengikut kedua-dua agama tersebut masih menerima dan mengajak golongan LGBT untuk berdialog serta berbincang mengenai keadaan diri mereka.

Langkah tersebut diambil bagi mencari satu jalan untuk membantu mereka memperbaiki diri selain memberikan kefahaman kepada golongan LGBT, penganut serta pengikut kedua-dua agama berkenaan mengenai satu sama lain.

Memuatkan artikel berkaitan…
HERMEN SHASTRI
HERMEN SHASTRI

Menurut Setiausaha Agung Gereja Malaysia (CCM), Rev. Dr. Herman Shastri, perkara ini penting untuk mencapai satu titik tengah yang boleh dipersetujui dan diterima oleh semua pihak dalam menangani isu LGBT di negara ini.

Dalam soal ini, Hermen menjelaskan, walaupun gaya hidup songsang yang diamalkan oleh golongan berkenaan tidak diterima dalam ajaran Kristian, pihak gereja tidak menolak mereka sebagai seorang manusia.

Pihak gereja, kata beliau, mengambil pendekatan untuk menghampiri, mendidik serta memberikan kefahaman kepada golongan LGBT agar mereka boleh berubah.

“Pihak gereja akan cuba membantu golongan ini mengatasi dan merubah keadaan hidup mereka menggunakan ajaran yang terdapat dalam Injil.

“Bagaimanapun, pihak gereja tidak akan menyisihkan mereka jika mereka tidak mahu berubah,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Online hari ini untuk mendapatkan komen mengenai polemik isu tuntutan hak dan kesamarataan golongan LGBT yang hangat diperkatakan ketika ini.

Ahli Lembaga Esksekutif Jaringan Antarabangsa Penganut Buddha, KV Soon ketika mengulas isu yang sama pula berkata, isu LGBT merupakan topik yang sensitif bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, jika perkara ini tidak dibincangkan dengan semangat saling menghormati, kasih sayang dan kefahaman bahawa semua pihak mempunyai pendapat yang berbeza, usaha untuk memcapai penyelesaian harmoni kepada isu ini akan menemui jalan buntu.

KV Soon turut menyatakan, perlu difahami bahawa penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua golongan LGBT dan masyarakat tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat kerana isu ini merupakan satu perkara yang rumit dan amat sensitif.

“Oleh sebab itu, isu ini perlu ditangani melalui dialog dan perbincangan yang berhemah supaya semua pihak dapat memahami dengan baik perkara yang menjadi asas kepada tuntutan dan penolakan masing-masing.

“Apabila kefahaman sudah dicapai, penerimaan kepada sebarang keputusan yang dibuat akan menjadi lebih mudah dan harmoni,” kata beliau ketika dihubungi.

KV SOON
KV SOON

Dalam pada itu, KV Soon turut menyatakan, bagi pegamal ajaran Buddha, dalam menangani isu-isu seperti polemik LGBT ini, beliau akan lebih memberi tumpuan kepada potensi mereka untuk menjadi manusia yang lebih baik dan bukannya terhadap perbezaan kelakuan kerana bagi drinya, LGBT itu bukan satu kesalahan.

Katanya, dalam ajaran Buddha, memberi fokus kepada potensi serta meningkatkan kesedaran diri untuk mencapai kebaikan sejagat akan membuka jalan kepada penyelesaian yang harmoni kepada semua permasalahan.

Polemik tuntutan hak dan kesamarataan oleh golongan LGBTQ ini kembali hangat diperkatakan awal bulan ini selepas potret yang memaparkan dua aktivis yang dikaitkan dengan LGBT iaitu Nisha Ayub and Pang Khee Teik yang bergambar dengan bendera Malaysia telah dipamerkan kepada orang ramai pada pameran fotografi yang diadakan sempena Festival Georgetown yang berlangsung sejak 4 Ogos lalu hingga 2 September depan.

Tindakan itu telah mengundang kemarahan majoriti rakyat Malaysia yang merasakan pameran itu seolah-olah usaha untuk mempromosikan golongan LGBTQ.

Terbaharu, pada Jumaat lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengadakan satu sidang akhbar yang menggemparkan dengan Nisha Ayub.

Bagaimanapun, hari ini, Dr. Mujahid telah tampil dengan permohonan maaf dan menarik semula kenyataannya yang menurut beliau, kurang sesuai dan mengelirukan orang ramai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN