IPOH 14 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari menafikan tuduhan beliau memimpin gerakan untuk mendesak Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu meluluskan semula hak pemilikan tanah 999 tahun kepada semua kampung baru di negeri ini.
Abdul Aziz menegaskan, pemberian hak milik tanah kekal kepada peneroka Felda, kampung tersusun dan kampung baru negeri sememangnya sudah tercatat sebagai antara 10 dasar tumpuan tawaran Pakatan Harapan negeri Perak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN), justeru menegaskan kenyataan yang mengatakan pemberian tanah hak milik kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah salah sama sekali.
Menurut beliau, Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan tentang kuasa MTN untuk menyelia polisi berkenaan penggunaan tanah membabitkan aktiviti perlombongan, pertanian dan perhutanan.
“Jadi, saya hanya cuba untuk merungkai salah faham ini. Jika anda mengatakan manifesto atau kandungan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, itu salah.
“Jadi, macam mana orang UMNO boleh cakap, ini bagi tanah pada Cina kerana majoriti pemilikan hak milik tanah itu akan kembali kepada orang Melayu. Kita bercakap tentang Felda, Melayu la kan, kampung tersusun, Melayu dan kampung baru ini berapa kerat sahaja (orang Cina),” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











