TELUK INTAN – Seorang lelaki memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri ditahan polis di sebuah bangsal bersebelahan rumahnya di Kampung Sungai Suli Dalam, Sungai Tungku dekat sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, suspek berusia awal 40-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari itu selepas pihak polis melakukan risikan terhadap suspek.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh itu cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas bersama selaras senapang patah buatan sendiri.
“Siasatan lanjut di bangsal tersebut menemui selaras lagi senapang patah buatan sendiri bersama satu plastik lutsinar mengandungi 15 butir peluru penabur dan satu kelongsong peluru penabur,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Marzukhi, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membuat senapang patah termasuk tiga udi kayu, sebatang laras besi, mesin penebuk lubang dan pemotong besi, gergaji besi dan pemutar skru turut ditemui.
“Suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan 8A Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan turut mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah lampau,” katanya. – K! ONLINE











