APMM tahan tiga bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu - Utusan Malaysia

APMM tahan tiga bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menahan tiga buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara pada jarak antara 106 hingga 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu kelmarin. 

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua nelayan asing warga Vietnam itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Segantang ketika sedang leka menangkap ikan antara pukul 4.15 petang hingga 7 malam. 

Menurut beliau, selepas menyedari kehadiran KM Segantang, ketiga-tiga bot nelayan asing terbabit cuba meloloskan diri dengan menuju ke arah sempadan perairan Malaysia-Vietnam. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“KM Segantang mengalami sedikit kerosakan pada bahagian badan kapal akibat dihimpit salah sebuah bot nelayan asing tersebut yang enggan memberi kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti. 

“Namun hasil kecekapan kru kapal, kita berjaya menahan kesemua 40 awak-awak termasuk tekong daripada ketiga-tiga bot itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini. 

Muhammad Suffi berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua bot nelayan asing berkenaan memalsukan dokumen dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

Tambah beliau, kesemua 40 awak-awak dan tekong berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau pengenalan diri yang sah. 

“Keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta termasuk tangkapan hasil laut seberat 920 kilogram, 30,000 liter minyak diesel serta peralatan  menangkap ikan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN