KUALA LUMPUR 14 Ogos- Bekas vokalis kumpulan Prime Domestic, Aweera mengakui terlalu peribadi untuknya berkongsi punca dia mengundurkan diri daripada kumpulan rock itu.
Jelasnya, buat masa ini orang yang paling layak untuk bersuara mengenai perkara ini adalah pengasas kumpulan itu Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul.
“Ikutkan sudah hampir sebulan saya tidak lagi bersama Prime Domestic. Sebenarnya saya orang ketiga meninggalkan kumpulan itu selepas pemain gitar, Hillary Ang dan Fauzi (bass).
“Bercakap soal punca, saya rasa ini terlalu peribadi untuk dikongsi. Lebih baik rasanya untuk bertanyakan soalan ini kepada abang Joe sendiri,” katanya yang sudah menjadi vokalis kumpulan tersebut sejak hampir dua tahun lalu.
Ditanya mengenai hala tuju kariernya kini selepas meninggalkan Prime Domestic, jelas Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 27, dia ketika ini lebih senang untuk bergerak sebagai penyanyi solo sahaja.
“Selepas dua kali mempunyai pengalaman yang sama, rasanya lebih senang untuk saya bergerak secara solo sahaja selepas ini.
“Kalau mahu menyertai kumpulan pun hanya melalui projek khas,” katanya lagi.
Kumpulan rock Prime Domestic ini mula mendapat perhatian apabila Joe mengumumkan pengundurannya daripada kumpulan terkenal Wings untuk memberi tumpuan kepada kumpulan baharu tersebut.
Ketika ini Prime Dosmetic yang pernah mengeluarkan album pertama berjudul Prima Domestika tahun lalu dianggotai Joe dan Fauzi (bass) sahaja. – UTUSAN ONLINE











