KUALA LUMPUR 14 Ogos – “Terkejut dan bersyukur”. Itu luahan pemilik akaun Facebook, Nordiana Borhan selepas dua guru tadika anaknya ditahan polis Sabtu lalu.
Penahanan itu bagi membantu siasatan kes guru tadika mendera serta memukul beberapa orang kanak-kanak di sebuah pusat perkembangan kanak-kanak di Cheng, Melaka yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.
Menurut Nordiana, dia tidak menyangka lebam dan gurauan anaknya yang tidak ingin ke sekolah selama ini kerana berlaku penderaan di taska tempat anaknya belajar.
Katanya, baru kini dia tersedar selepas 10 tahun menghantar anaknya ke situ bermula anak sulung, akhirnya kekejaman serta perangai sebenar guru-guru di sekolah itu terbongkar menerusi rakaman yang tular dalam media sosial.
“Saya bersyukur sangat, kalau tidak di sebabkan cikgu Atika viral video ni, sampai bila-bila kekejaman berlaku kat taska PPKK.
“Saya paksa anak saya pergi sekolah, namun dia beri banyak alasan terpaksa berpura-pura meninggal. Malah dia pernah menangis dan merayu kerana saya tinggalkan dia dekat sekolah.
“Darah berderau bila terbaca laporan polis mengenai penderaan berlaku di taska anak saya itu. Bila teringat kesan lebam terhadap anak saya, hati saya jadi luluh dan sedih memandangkan layanan baik selama ini terhadap guru-guru itu rupanya mereka syaitan bertopengkan manusia,” ujarnya.
Menerusi status terbarunya hari ini turut menerima lebih 4,500 perkongsian dengan lebih 1,400 komen yang rata-rata menyifatkan agar pihak berkuasa menghukum mereka dengan hukuman yang setimpal.
Menurut Nordiana lagi, dia juga pernah menyarankan kawannya untuk menghantar anaknya ke sekolah berkenaan memandangkan perkhidmatan yang disediakan
selama ini memuaskan.
Tambahnya, dia berharap agar kedua-dua suspek berkenaan mendapat hukuman yang setimpal kerana tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan.
“Saya menyesal suruh kawan saya hantar ke sekolah itu, kalaulah saya tahu selama ini perkara itu berlaku. Tidak akan sekali-kali saya menggunakan perkhidmatan itu sejak 10 tahun dahulu,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad memberitahu kedua-dua guru wanita itu yang masing-masing berusia 21 dan 40 tahun ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh pengurus pusat perkembangan kanak-kanak itu pada hari yang sama.
Video berdurasi 36 saat memaparkan tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi manakala satu lagi video menunjukkan tindakan seorang lagi guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan diletakkan di atas tubuh kanak-kanak lelaki yang terbaring.-UTUSAN ONLINE











