ARAU 14 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini membidas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mendakwa Tun Daim Zainuddin menjadi dalang dalam usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
![]() |
|
Dr. Ammar Hassan
|
Ketua Penerangan Bersatu negeri, Dr. Ammar Hassan berkata, dakwaan tersebut dilihat tersasar jauh dan datang daripada seorang yang beremosi.
Justeru, beliau menyarankan agar Abdullah Sani sentiasa peka dengan menjaga sensitiviti dan setiakawan di dalam Pakatan Harapan dengan tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah belahkan perpaduan antara parti di dalam gabungan tersebut.
“Biar Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri yang tentukan masa yang terbaik untuk proses peralihan kuasa Perdana Menteri itu. Apa yang pasti, pertimbangan terbaik akan dilakukan oleh mereka demi kepentingan negara dan rakyat di negara ini.
“Sepatutnya ahli-ahli Pakatan Harapan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Daim yang sanggup mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bagi menasihatkan kerajaan ke arah memantapkan lagi pentadbiran dan hala tuju negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Abdullah Sani yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan Daim bagi menghalang Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.
Sementara itu Ammar berkata, Abdullah Sani yang ketika ini bersungguh-sungguh berkempen melobi Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR, perlu sedar bahawa beliau adalah Ahli Parlimen kerajaan.
“Dakwaan-dakwaan terbuka seperti ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kredibiliti Daim sebagai Pengerusi CEP selain boleh mencalarkan imej kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita sarankan beliau (Abdullah) supaya berhenti membawa isu tersebut dalam hari-hari berkempen untuk Rafizi selepas ini. Dalam masa sama, Rafizi juga wajar menasihatkan Abdullah agar berhenti mengeluarkan dakwaan yang tidak munasabah dan bermanfaat pada Pakatan Harapan dan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE












