ALOR SETAR 14 Ogos – Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Nor Azah Idris sementara bekas ADUN berkenaan diwakili peguam, Hasnul Anis Abdullah Hashim dan Che Zuriati Che Mohamad.
Individu bergelar datuk berusia 60-an itu tiba di Lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 10.05 pagi.
Kalangan ahli keluarga serta kira-kira 30 sahabat handai turut berada di pekarangan lokap tersebut ketika bekas ADUN berkenaan tiba dengan diiringi dua pegawai SPRM.
Semalam Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan individu berkenaan.
Sumber memaklumkan, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.
Difahamkan, siasatan dijalankan setelah bekas ADUN berkenaan dikatakan telah memohon penggunaan dana tersebut pada Februari tahun lalu atas alasan penganjuran sebuah program.
Begitu pun ujar sumber terbabit, wang yang diluluskan itu dipercayai tidak digunakan untuk program tersebut.
Tambah sumber itu lagi, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti ke mana wang tersebut digunakan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE











