PUTRAJAYA 14 Ogos – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan program Penggajian dan Penempatan Semula (Rehiring) pekerja asing yang mengaut keuntungan RM2.2 juta.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket yang dijalankan oleh sebuah syarikat pelancongan itu didakwa telah menipu
270 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut beliau lagi, mangsa yang terdiri daripada warga Bangladesh dikatakan telah membayar kira-kira RM8,000 kepada pihak terlibat.
“Pihak imigresen telah menjalankan serbuan ke atas dua premis iaitu di Kajang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada minggu lalu setelah menerima satu laporan polis oleh mangsa terlibat.
“Dalam serbuan itu, sebanyak tiga suspek termasuk dalang utama berusia 35 tahun yang dikenali ‘Abang Is’ telah ditahan reman untuk disiasat mengikut Akta Pasport,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, Mustafar berkata, pihaknya menjangkakan ribuan PATI menjadi mangsa kerana syarikat itu telah menjalankan sindiket tersebut sebelum program Rehiring ditutup pada 30 Jun lalu.











