KUALA LUMPUR 14 Ogos- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasanah Ab. Hamid berhubung dakwaan beliau menulis surat kepada Agensi Risikan Antarabangsa (CIA) menjelang Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga akan merakam percakapan beberapa individu termasuk pegawai dari bahagian berkenaan yang berada di Washington.
“Kita telah ambil keterangan Hasanah dan terdapat dua atau tiga individu akan dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini hari ini.
Bulan lalu, sebuah portal berita mendedahkan surat rahsia yang dihantar oleh Bahagian Penyelidikan JPM kepada Pengarah CIA, Gina Haspel.
Surat bertarikh 4 Mei itu antara lain meminta sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) menang mudah atau dengan bilangan kerusi yang sedikit bagi PRU-14.
Bagaimanapun, Najib telah menafikan surat berkenaan dihantar atas arahannya kerana agensi kerajaan termasuk hal ehwal risikan mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawab berdasarkan pertimbangan sendiri.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat Hasanah di Balai Polis Travers pada 31 Julai lalu berhubung dakwaan surat berkenaan. – UTUSAN ONLINE











