KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kelewatan mendapat tempat latihan, selain hanya berlatih di dalam negara antara cabaran yang terpaksa ditempuhi skuad kabaddi negara bagi menggalas cabaran ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
Menurut penolong pengurus pasukan, V. Ravichdran persiapan Sukan Asia menerima banyak rintangan terutama kelewatan mendapatkan tempat latihan namun mereka berjaya menyelesaikan masalah itu sebulan sebelum temasya berlangsung.
“Kami mula menerima tempat latihan pada 26 Julai sebab sebelum itu kami susah mendapatkannya kerana kebanyakan dewan memiliki gelanggang badminton dan mereka tidak benarkan kami memasang lantai getah.
“Sebelum itu, kami hanya berlatih tiga hari seminggu kerana tiada tempat berlatih selain atlet kami tinggal berjauhan. Ada menetap di Perak, Johor dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam temasya Incheon 2014, kabaddi menamatkan saingan di tempat kelima, dan Ravichdran berharap mereka dapat sekurang-kurangnya menduduki tempat tempat ketiga.
“Kami tidak boleh menjanjikan warna pingat cuma apa yang saya boleh katakan kami mahu memperbaiki kedudukan empat tahun lalu. Saya rharap pemain dapat menunjukkan aksi terbaik.
“Apabila kami dapat menghadiahkan pingat mungkin daripada situ kami boleh mendapat perhatian,” katanya lagi.
Skuad kabaddi beraksi di Indonesia dengan menggunakan duit sendiri selepas diletak dalam kategori B.











