Peminat kerumun Ronaldo - Utusan Malaysia

Peminat kerumun Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILLAR PEROSA, Itali 13 Ogos – Perlawanan pertama Cristiano Ronaldo bersama Juventus terpaksa dihentikan 20 minit lebih awal selepas penyokong merempuh masuk ke dalam padang untuk memeluk dan bergambar dengan bintang penyerang Portugal itu semalam.

Lebih 5,000 penonton membanjiri ladang keluarga Agnelli yang terletak di kawasan perkampungan Villar Perosa, 40 kilometer dari Turin untuk melihat Ronaldo beraksi dalam perlawanan persahabatan tahunan antara skuad senior Juventus menentang pasukan bawah 20.

Ronaldo menjaringkan gol pembukaan pada minit kelapan, dan mencipta gerakan bahaya yang menyebabkan pemain Juventus B, Riccardo Capellini menjaringkan gol sendiri, 10 minit kemudian ketika pasukannya menang 5-0.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika permainan sedang berlangsung, kawasan padang tiba-tiba dipenuhi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan Pemain Terbaik Dunia yang tiba di Itali dari Real Madrid dengan yuran perpindahan 100 juta euro (RM272 juta) itu.

Terdahulu sebelum bermulanya perlawanan persahabatan, penyokong mula bersorak di tengah pekan sambil melaungkan “Ronaldo, bawakan kami trofi Liga Juara Juara (Eropah)”.

Ronaldo memasuki kawasan padang dengan dikawal ketat oleh 600 anggota polis.

Pusat-pusat hiburan dan restoran pula penuh sesak dengan penyokong serta pengamal media yang datang membuat liputan kehadiran Ronaldo di pekan yang dikenali sebagai tempat lahirnya pengasas Fiat iaitu keluarga Agnelli.

Ronaldo, 32, akan membuat penampilan kompetitif pertamanya bersama Juventus, Ahad ini apabila gergasi bola sepak Itali itu menentang Chievo dalam aksi pembukaan 
Serie A. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN