Bencana alam, peringatan kepada manusia - Utusan Malaysia

Bencana alam, peringatan kepada manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUMI dan alam semesta ini adalah ciptaan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Keindahan alam semula jadi ini sangat menarik dan cantik untuk dilihat oleh setiap mata manusia. Tambahan lagi, kehijauan tumbuh-tumbuhan dan birunya langit memberikan pandangan menyegarkan kepada setiap manusia yang melihatnya. Ini jelas membuktikan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan Maha Agung yang menciptakan segala isi di langit dan di bumi.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Tuhan kamu Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas Arasy (sifat Allah) Dia menutupkan malam dengan siang yang mengikutinya dengan cepat dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang, (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, hanya Allah urusan menciptakan dan memerintah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah Al-A’raf : 54)

Namun begitu, sebilangan manusia tidak mengambil kesempatan di atas kurniaan Allah SWT ini untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sudah tentu sekiranya kita mengambil peluang ini, pastinya kehidupan kita akan sentiasa diberkati dan diredai Allah. Apa yang terjadi kini, alam semula jadi tidak dipelihara dan dijaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan sebab itu, Allah SWT sentiasa memberikan peringatan kepada kita agar sentiasa memelihara khazanah alam ciptaannya kerana setiap daripadanya itu ada manfaat dan kebaikan yang dikhususkan kepada semua makhluknya termasuk haiwan. Peringatan yang cukup jelas diberikan oleh Allah SWT kepada kita untuk membuktikan kekuasaannya sekali gus memberi ke­sedaran kepada kita iaitu bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya.

Firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Menge­tahui segala sesuatu.” (Surah At-Taghabun : 11).

Ayat ini dinyatakan oleh ­Allah SWT bahawa setiap ujian dan musibah yang diturunkan kepada hambanya hanya dengan ketentuan serta kekuasaannya daripada-Nya sendiri.

Ia juga mempunyai hikmah yang perlu difikirkan dan dinilai semula oleh setiap orang beriman atas. Justeru, segala bencana alam yang sering dilihat dan dipaparkan dalam media itu adalah ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Dia telah memilih siapa yang akan menerima musibah itu, di mana ia berlaku, pada waktu bila dan sebagainya.

Apa yang pasti dan jelas, semuanya itu mempunyai sebab-sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Bumi semakin hari semakin tua, menunggu pengakhirannya iaitu hari kiamat. Malangnya, manusia langsung tidak menyedari­nya apatah lagi menjadikannya sebagai peringatan bersama-sama. 
Kita dapat lihat bagaimana aktiviti-aktiviti tidak sihat kepada alam yang sering dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram, pe­nerokaan hutan dan sebagainya. Semua ini akan memberi kesan tidak baik kepada sistem semulajadi alam yang akan menjejaskan persekitaran.

Banyak bukti yang cukup jelas dipaparkan kepada masyarakat melalui akhbar, berita semasa dan media masa lain bagaimana kerakusan manusia itu sendiri yang merosakkan alam semulajadi seperti firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Dengan sebab itu, setiap mu­sibah dan ujian yang diturun­kan oleh Allah SWT melalui bencana alam ini perlu sentiasa dijadikan iktibar.

Janganlah sesekali memperso­alkan kenapa dan mengapa ­Allah memperlakukan sedemikian sedangkan kita tahu Dia berhak atas kekuasaannya sendiri. Yang pasti, segala yang diatur oleh Allah SWT ini adalah peringa­tan kepada kita semua untuk mencapai nilai ke­takwaan dan keimanan tinggi di sisi-Nya.

Sehubungan itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar ujian yang diturunkannya seperti gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya adalah ujian yang membuka hati kita untuk terus beriman ke­pada-Nya dalam setiap inci kehidupan kita.

Jangan sesekali bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan karut berkaitan dengan bencana alam ini kerana ia boleh memesongkan akidah kita.

Sesungguhnya tiada Tuhan yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain Allah SWT. Dalam masa sama, kita juga terus berdoa agar mereka yang ditimpa musibah dan ujian bencana alam ini terutamanya saudara seagama kita diberikan perlindungan sebaiknya.

Semoga semua mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa yang menerima ujian ini diberikan kekuatan dan kecekalan hati dalam meneruskan saki baki kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN