PADA 7 Ogos lalu, penulis mempengerusikan seminar “Peranan Raja-raja Melayu Dalam Menyatukan Rakyat” di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu. Ada dua pembicara iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dan Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa, dua tokoh sarjana di bidang sejarah dan pemikiran peradaban. Ucaptama disampaikan oleh Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra merangkap Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Titah ucaptama baginda membawa keluasan dan kedalaman makna yang tersirat serta terkesan sekali. Pada hemat baginda, institusi kesultanan atau kedudukan raja-raja Melayu adalah salah satu pancang kenegaraan yang utama. Keprihatinan baginda terhadap masa depan negara cukup signifikan. Seminar ini pun adalah cetusan idea asal baginda sendiri.
Soalnya kini, kenapakah institusi raja-raja dihina rakyat sendiri? Kenapa timbul keserongan persepsi golongan tertentu khususnya generasi muda terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu? Media sosial digunakan sekehendak hati dengan tohmahan secara menghina. Mutakhir ini sudah ada pula kedengaran suara-suara yang menolak hakikat kontrak sosial dan perjanjian kemerdekaan. Kadang-kadang orang politik pun yang ‘lebih sudu daripada kuah’. Suara-suara mereka itu nyata tergelincir daripada landasan prinsip-prinsip kenegaraan.
Status raja-raja Melayu sangat penting sebagai institusi yang berdaulat. Peranan dan sumbangan raja-raja dalam pelbagai aspek perpaduan di tanah air tidak boleh dipandang kecil seperti dalam bidang agama, pentadbiran, kestabilan politik, ekonomi, pendidikan, bahasa, kerukunan hidup dan kesihatan.
Raja-raja itu lambang keselamatan, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara. Nilai dan norma kehidupan rakyat menjadi santun di negara-negara yang mengamalkan sistem beraja seperti di England, Jepun, Thailand dan di negara-negara lain.
Rakyat lebih halus dan luhur perilaku kerana kesantunan berbahasa dalam hubungan antara raja dan rakyat. Ada pendidikan budaya tersendiri dalam konteks adat istiadat diraja. Madah Melayu tentang raja dan kepemimpinan seperti diperturunkan Dr. Hashim sangat memikat: “Bertuah ayam ada induknya, bertuah serai ada rumpunnya; bertuah rumah ada tuannya, bertuah kampung ada penghulunya; bertuah negeri ada rajanya, bertuah imam ada jemaahnya; bila negeri tidak beraja, bila kampung tak berpenghulu; bila rumah tidak bertuan, angin lalu tempias pun lalu; tuah hilang maruah terbuang; hidup celaka sengketa pun datang”.
Apakah bangsa Melayu kini sedang menghadapi krisis jati diri? Keprihatinan mengenai jati diri bangsa kian luntur kerana bangsa Melayu agaknya terlalu sibuk mengejar kehidupan kebendaan dan kemewahan sehingga aspek spiritualisme budaya atau rohaniah terpinggir. Pemikiran dan konsep kesinambungan tradisi, memelihara nilai-nilai peradaban, cakna warisan atau khazanah bangsa makin kurang difahami. Institusi Raja-raja adalah lambang kepada keteguhan semangat kesatuan bangsa.
Ulama besar dunia Melayu, kelahiran Kelantan Almarhum Tok Kenali @ Haji Mohd. Yusoff Ahmad al-Kenali (1870-1933) dalam keluaran pertama, majalah Pengasuh pada 14 Julai 1918, sudah 100 tahun usianya, mengungkapkan tentang kemanusiaan.
Tulisan beliau berbunyi:“Tiada hari bagi kita jika kita tidak bergerak pada hari ini. Cubalah anakku tilik cerah matahari, kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan yang kebajikan. Dan pandangkan kelam orang yang jatuh kerana amalan kejahatan. Di situlah pengasuh bertimpus membedak dengan bedak harapan; mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanah air dan menunjukkan kepada raja”. Suara Tok Kenali itu adalah suara perjuangan, suara seruan menuju kemenangan (al-falah) dengan amalan kebajikan serta seruan menabur jasa bakti kepada ibu pertiwi, menjunjung ketaatsetiaan kepada raja.
Dalam senario semasa, apabila institusi Yang di-Pertuan Agong diperlekeh, Raja-raja Melayu difitnah dan tersebarnya tohmahan, pihak berkuasa bungkam untuk bertindak. Demikian juga ketika pancang-pancang negara dikhianati dan prinsip kenegaraan digoncangkan tanpa segan silu, kita hanya terkebil-kebil. Bukankah kepentingan kaum-kaum lain tidak pernah pun disensasikan. Sebaliknya ketika muncul suara-suara Melayu mempertahankan hak-hak Perlembagaan dan kenegaraan, mereka itu dilabelkan sebagai rasis. Relakah suatu waktu kita akan menyaksikan kemusnahan kepada peradaban negara bangsa Malaysia? Jadi mahu ke mana Malaysia mulai sekarang?
Persoalan di hadapan kita adalah sejauh manakah rakyat Malaysia itu bersedia untuk terus mewarisi, mempraktikkan dan mempertahankan jati diri bangsa, termasuk institusi raja-raja Melayu. Kukuhkah citra jati diri Malaysia dalam kancah zaman modenisasi alaf baharu ini? Apakah strategi dan pendekatan hikmah umat Melayu-Islam bagi mengharungi gelora zaman modenisasi sekarang dengan pelbagai persepsi dan aneka kerenah liberalisasi dan globalisasi kini?
Jika bangsa Melayu meletakkan harapan kepada orang lain untuk memajukan bangsa dan agama Islam, maka belum tentu pasti jadi. Apakah kemerdekaan itu bermakna kebebasan bagi sesiapa jua berbuat apa sahaja semahu hati tanpa batas akhlak, ajaran agama dan nilai-nilai budaya tinggi?
Melalui sebuah sajak sendiri yang penulis deklamasikan di hujung seminar berjudul “Lidah Bangsa” (ditulis 10 tahun dahulu pada 31 Ogos 2008); penulis merasakan betapa kelunya lidah bangsa pada dekad awal abad ke-21 ini. Dunia sejagat dan Malaysia sedang berhadapan dengan aneka pancaroba; isu politik, ekonomi, sosial dan tiba-tiba Melayu “hilang berani”.
Kenapakah bangsa Melayu turun naik kebangkitannya sejak awal kemerdekaan lagi? Bingkas bangunlah, melangkahlah sederap serentak menjadikan Malaysia sebuah nusa yang terbilang. Jadikan bangsamu disegani orang lain dan dihormati dunia. Melayu perlu menjulang kecemerlangan dan kegemilangan. Jika muncul aliran baharu alur fikir, menerjah tanpa nyata batin zahir, maka lambat laun orang Melayu dan rumpunnya sebagai juzuk utama bangsa Malaysia akan nanar laksana pohon tidak berakar.
DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (Peradaban).











