KOTA BHARU – Seorang pensyarah warga Mesir yang bertugas di sebuah kolej Islam swasta di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan mencabul seorang pelajar wanitanya pada minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmed Abdellatif Ahmed Khalil, 56, ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan seorang jurubahasa yang boleh berbahasa Arab berikutan tertuduh memberitahu dia tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Tertuduh didakwa mencabul seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun itu di dalam bilik pensyarah terbabit di sebuah bangunan kolej di Nilam Puri pada pukul 12.15 tengah hari, 7 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.











