Jakarta, 13 Ogos – Jumlah kematian akibat gempa bumi di pulau Lombok di Indonesia mencecah 400 orang hari ini ketika masih banyak mayat dibawa keluar dari bangunan-bangunan yang runtuh, kata pihak berkuasa.
Gempa bumi dengan kekuatan 7 skala Ritcher pada 5 Ogos lalu menyebabkan puluhan ribu rumah, masjid dan bangunan perniagaan di seluruh Lombok, runtuh, hanya seminggu selepas satu gempa yang lain mengegarkan pulau itu dan membunuh 17 orang.
“Pasukan mencari dan menyelamat masih mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan bangunan dan tanah runtuh,” kata jurucakap Agensi Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.
Jumlah mangsa yang terkorban dalam gempa berkenaan kini berjumlah 436, kata Nugroho, dengan lebih 1,353 cedera dan hampir 353,000 kehilangan tempat tinggal.
Kawasan yang terjejas teruk adalah utara Lombok apabila 374 terbunuh dan lebih 137,000 kehilangan tempat tinggal, demikian menurut perangkaan terbaharu.
Mereka yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya mendapat pelindungan di khemah-khemah berhampiran rumah mereka yang rosak atau di tempat perlindungan, manakala kemudahan perubatan juga disediakan untuk merawat yang cedera.
Jalan raya yang tidak dapat dilalui kerana rosak teruk di utara kawasan gunung pulau ini, menjadi masalah utama kepada agensi bantuan untuk menghantar bantuan. – AFP











