COX’S BAZAR 13 Ogos – Pelbagai pasukan penyiasat di kem pelarian Kutupalong, Ukhia secara diam-diam telah mengumpulkan bukti-bukti tentang penderitaan yang dialami oleh masyarakat Muslim Rohingya sejak tahun lalu.
Pasukan penyiasat berkenaan terdiri daripada golongan penjawat awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia, serta anggota sukarelawan.
Mereka berharap bukti-bukti yang dikumpulkan dapat memberikan hak keadilan sewajarnya kepada golongan pelarian wanita Rohingya.
“Mereka memecah masuk rumah kami. Mereka menarik keluar suami saya dan menembaknya.
“Selepas itu, mereka membunuh anak saya. Empat daripada mereka (tentera Myanmar) merogol saya,” kata wanita Rohingya berusia 20 tahun yang enggan dikenali ketika ditemu bual oleh pasukan penyiasat.
Sementara itu, salah seorang pelarian Rohingya, Nurjahan yang turut kehilangan suami dan anaknya berharap dia serta wanita lain dapat menuntut keadilan.
Nurjahan merupakan salah seorang daripada 400 wanita Rohingya yang menuntut agar siasatan rasmi terhadap kekejaman tentera Myanmar di negeri Rakhine dijalankan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Sebanyak 400 wanita berkenaan yang membentuk sebuah kumpulan dikenali sebagai Shanti Mohila, turut mengumpulkan keterangan dan tandatangan mangsa untuk melobi supaya ICC bertindak.
“Kami kehilangan anak kami. Anak perempuan kami diseksa. Kami mahukan keadilan untuk mereka,” kata Nurjahan kepada AFP.
Sesetengah bukti berkenaan telah pun sampai ke The Hague, tempat yang menempatkan ICC yang digesa supaya menyiasat jenayah kemanusiaan di Rakhine, satu tindakan yang dinafikan oleh Myanmar.
Myanmar sebelum ini mewujudkan suruhanjaya siasatan khas bagi menyiasat insiden kekejaman di Rakhine tetapi dikecam oleh ramai pihak dan menyifatkan sekadar ‘cakap-cakap kosong’ sahaja. – AFP











