FRI bangunkan penyelidikan kelah biru - Utusan Malaysia

FRI bangunkan penyelidikan kelah biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS 13 Ogos – Program pembangunan ikan kelah terutama spesies kelah biru kini berjaya me­ningkatkan kadar penetasan telur daripada 50 peratus kepada 90 peratus yang mana sistem asuhan sedia ada sebelum ini tidak dapat mengawal masalah fungus pada telur ikan semasa proses eraman.

Pengarah Bahagian Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Pulau Pinang Dr. Zai­noddin Jamari berkata, serangan fungus itu berlaku disebabkan masa pengeraman ikan kelah adalah panjang iaitu selama 72 jam.

Menurutnya, Program Pembangunan Baka Induk Kelah juga dapat mengatasi masalah kadar hidup yang rendah pada peringkat asuhan rega melalui sistem asuhan yang mudah dan berkos rendah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sistem asuhan yang diwujudkan juga dapat menampung asuhan rega sehingga 4,000 ekor rega setiap pusingan dan kadar pene­luran ikan kelah juga dipertingkatkan daripada sekali kepada empat kali setahun melalui penggunaan diet yang dirumus khas untuk kematangan induk ikan kelah.

“Diet ini juga berupaya me­ningkatkan prestasi kematangan induk sehingga 40 peratus berban­ding diet tradisional dan pastinya pe­nemuan ini dapat membantu pihak industri dalam penghasilan benih ikan kelah secara intensif dan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain itu, penyelidikan yang dibuat kini menerusi hormon implan adalah bagi memastikan ikan kelah mampu bertelur tanpa mengira musim atau sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

Zainoddin berkata, bagi menambah pengeluaran benih ikan kelah, FRI berhasrat untuk membangunkan beberapa kolam pembenihan (hatchery) swasta manakala pihak Jabatan Perikanan sedia memberi bimbingan dan latihan kepada mereka yang berminat serta berkemampuan.

Menurutnya, pembangunan hatchery swasta itu merangkumi beberapa elemen iaitu konsultasi pembangunan infrastruktur, pengurusan serta pembangunan induk, pengurusan makanan, pembiakan aruhan, asuhan serta ternakan.

“Pada 2016, FRI Glami Lemi di Kuala Klawang, Negeri Sembilan telah membangunkan sebuah hatchery di Johor dan sebuah lagi di Kuala Berang, Terengganu.

“Usaha ini akan diteruskan pada tahun ini yang mana beberapa buah hatchery terpilih akan dibangunkan secara berpe­ringkat-peringkat,” katanya.

Menurutnya, FRI Glami Lemi juga dibangunkan sebagai Pusat Kelah Negara yang menjadi pusat sehenti kepada pembangunan industri berdaya maju serta menjanjikan pulangan tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN