KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mendedahkan pasukannya mempunyai perancangan alternatif sekiranya terdapat sebarang perubahan jadual atau lokasi latihan menjelang Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia kerana enggan fokus barisan pemainnya terganggu.
Situasi itu terjadi susulan terdapat laporan mendakwa pasukan B-23 Vietnam ketika ini terpaksa berlatih di padang yang kurang sesuai dan boleh mengundang bahaya kepada pemain berikutan lokasinya bersebelahan jalan raya.
“Kita mengharapkan satu penganjuran yang baik daripada pihak tuan rumah supaya segala perancangan pasukan dapat berjalan dengan lancar.
“Kita tahu Indonesia telah menjalankan banyak perubahan dari segi persiapan supaya kempen Sukan Asia 2018 dapat berjalan dengan baik dan sempurna.
“Saya harap tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini termasuklah perubahan jadual perlawanan sebenar serta padang latihan agar fokus para pemain tetap berada pada tahap terbaik.
“Bagaimanapun, kita perlu mempunyai perancangan kedua sama ada pelan B atau C. Jika tidak ada padang untuk berlatih, maka kita perlu mendapatkan alternatif lain,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum berlepas ke Indonesia semalam.
Kim Swee turut mengulas keputusannya memanggil semula pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie pada saat-saat akhir untuk menyertai pasukan iaitu kurang daripada 24 jam sebelum berlepas ke Indonesia selepas pemain tengah, Danial Amier Norhisham mengalami kecederaan.
“Selepas berbincang dengan doktor dan melihat keadaan Danial Amier pada latihan pagi tadi (pagi semalam), kami mendapati kecederaan pangkal paha yang dialaminya mungkin mengambil masa panjang untuk pulih sepenuhnya.
“Memandangkan masa suntuk menjelang dua perlawanan awal bertemu Kyrgyzstan pada Rabu ini, manakala Korea Selatan (Jumaat), maka saya memerlukan pemain lebih cergas untuk diturunkan walaupun diakui posisi tengah agak kekurangan pemain.
“Jadi kekosongan yang ditinggalkan Danial Amier itu diganti dengan Rodney bagi melengkapkan senarai akhir 20 pemain,” ujarnya.











