Bank Muamalat sasar RM13 juta - Utusan Malaysia

Bank Muamalat sasar RM13 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) me­nyasarkan segmen perbankan premium akan menyumbang sebanyak 22 peratus kepada pendapatan bersih portfolio pengurusan kekayaan dan perbankan mewahnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Naib Presiden dan Ketua Pengurusan Kekayaan & Perbankan Premiumnya, Sarimah Bashah (gambar kecil) berkata, bagi tahun kewangan semasa, pihaknya mengunjurkan untuk mencapai pendapatan bersih bernilai RM13 juta, khusus bagi portfolio pengurusan kekayaan dan perbankan mewahnya.

“Segmen perbankan premium merupakan suatu pasaran khusus baharu yang kami ceburi dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan perbankan yang lebih peribadi kepada pe­langgan dalam segmen mewah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dipacu oleh prospek pertumbuhan menggalakkan bagi perniagaan pengurusan kekayaan, kami komited untuk mengembangkan lagi segmen premium ini dan akan terus menilai perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran cawangan perbankan premium Islam pertama Bank Muamalat di bawah inisia­tif Muamalat Beyond Premier Banking di Jalan Memanda, dekat sini semalam.

Turut hadir Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Munir Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid dan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sementara itu, mengenai cawangan perbankan terbaharu tersebut, Sarimah menjelaskan, Bank Muamalat menjangkakan untuk menerima sejumlah 250 pelanggan menjelang akhir tahun kewangan semasa daripada 25 pelanggan sejak ia mula beroperasi pada 14 Mei lepas.

“Sehingga kini, cawangan ini telah mencatatkan deposit bernilai RM10.9 juta selain jualan emas sebanyak 9.7 kilogram menerusi produk pelaburan emas kami, dan ini merupakan satu angka yang amat mengga­lakkan.

“Dengan perkhidmatannya yang lebih bersifat peribadi, sesuai untuk pelanggan dari segmen korporat dan runcit, kami yakin dapat mengumpul deposit berjumlah RM40 juta sehingga akhir tahun kewangan semasa,” jelasnya.

Pelanggan Muamalat Beyond Premier Banking akan diberi keutamaan daripada aspek harga serta keistimewaan eksklusif untuk produk dan perkhidmatan seperti pelaburan emas dan kemudahan peribadi M-tunai serta mendapat khidmat nasihat daripada para Pengurus Hubungan bank.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN