IPOH 13 Ogos – Ahli Jawatankuasa DAP negeri, Nga Hock Cheh, 66 dan Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR yang juga Pengarah Operasi, Jabatan Pilihan Raya parti itu Ismail Yusop, 60, dipilih sebagai Ahli Dewan Negara sebulat suara dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Dalam undian oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang hari ini, Hock Cheh, yang juga seorang peguam veteran dan Ismail masing-masing mendapat 31 undi.
Mereka menggantikan dua Ahli Dewan Negara yang dipilih sebelum ini iaitu Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim yang melepaskan jawatan pada 27 April lalu.
Pemilihan Hock Cheh dan Ismail sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini.
Dua lagi calon daripada pembangkang untuk jawatan tersebut iaitu Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd. Ghafar, 69, dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Ismi Mat Taib, 44, masing-masing menerima 28 undi.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri meluluskan pelantikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) dan Chong Zhemin (DAP-Keranji) sebagai timbalannya dan dianggotai oleh Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu), Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim), Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang), Ng Shy Ching (PKR-Teja) dan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol).
Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Negeri Perak yang dilantik pula dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan, Datuk Ngeh Koo Ham serta dianggotai oleh Datuk Mohd. Zolkafly Harun (BN-Lintang), Ahmad Saidi Mohammad Daud (BN-Changkat Jering), Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (Amanah-Kamunting), Muhammad Arafat Varisai Muhamad (PKR-Hulu Kinta), Teoh Yee Chern (DAP-Astaka) dan Mohd. Akmal Kamarudin (Pas-Selama).
Di bawah Perintah Tetap 71, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Perak yang dipilih juga dipengerusikan oleh Koo Ham selaku Yang Dipertua Dewan serta dianggotai oleh Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong), Salbiah Mohamed (BN-Temengor), Ong Boon Piow (DAP-Bercham), A. Sivasubramaniam (DAP-Buntong), Leow Thye Yih (DAP-Pokok Assam) dan Khalil Yahya (Pas-Kubu Gajah).
Satu jawatankuasa baharu turut diwujudkan bagi penggal pertama DUN Ke-14 iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Mengkaji Bangunan Baharu mengikut Perintah Tetap 73 yang dipengerusikan oleh Koo Ham dan dianggotai oleh Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan), Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Nordin (BN-Kampung Gajah), Nga Kor Ming (DAP-Aulong), Jenny Choy Tsi Jen (DAP-Canning), Chaw Kam Foon (DAP-Menglembu) serta Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Bebas-Tualang Sekah). – UTUSAN ONLINE











