PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan bahawa badan induk bola sepak negeri tersebut sama sekali tidak akan membayar gaji mana-mana pemain The Red Warriors (TRW) sekiranya mereka mengadu atau bercakap isu tuntutan gaji di laman media sosial.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jika ada pemain berdepan masalah dengan gaji, maka pemain terbabit boleh datang sendiri ke pejabat KAFA dan bertemu secara bersemuka bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Pemain patut datang berurusan dengan KAFA dan bukannya menggunakan media, kecuali mereka sengaja hendak mencetuskan persepsi yang tidak bagus kepada majikan.
“Sebagai pemain, mereka perlu menghormati kontrak kerana masih mempunyai majikan,” katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Kelmarin sebuah portal berita melaporkan dua bekas tonggak utama Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Nor Farhan Muhammad menafikan khabar angin bahawa mereka mahu mengemukakan saman terhadap KAFA berhubung isu tuntutan gaji.
Bibi Ramjani memberitahu, adalah tidak wajar meletakkan kesalahan itu kepada KAFA semata-mata, sebaliknya pemain perlu berjuang demi pasukan dan penyokong.
“Cuba tanya pada diri pemain terbabit, adakah mereka bermain untuk gaji semata-mata sedangkan mereka tahu pengorbanan yang telah dilakukan oleh KAFA.
“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pemain yang masih belum menerima gaji,” ujarnya.
Beliau turut mempelawa mana-mana pemain TRW supaya bertandang ke pejabat badan induk itu untuk mendapatkan tuntutan mereka.
Sebelum ini, KAFA telah melunaskan tuntutan hutang membabitkan dua bekas pemain import musim 2016 iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Troare serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic berjumlah RM2.6 juta.
Selain itu, Kelantan turut diarahkan membayar tuntutan tunggakan gaji sebanyak RM100,000 oleh Brendan Gan Sen Ling dan Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa (RM55,000)
Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani mendedahkan wujudnya satu gerakan untuk menuntut hutang lama melibatkan KAFA.
Katanya, tuntutan itu seolah-olah mahu memberikan tekanan kepada KAFA untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan Kelantan bersaing pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
“Ada yang datang kepada saya dan menunjukkan mesej (WhatsApp) individu yang cuba menghasut pemain untuk menuntut hutang. Jadi, rasanya tidak perlu wujudkan benda seperti ini sebab saya ingin orang tampil untuk membantu menyelesaikan kemelut KAFA dan bukan membantu menjadi parasit,” katanya.











