Lebih 300 cedera semasa menonton konsert di Sepanyol - Utusan Malaysia

Lebih 300 cedera semasa menonton konsert di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Panik berlaku di sebuah festival muzik yang sarat dengan penonton di Sepanyol apabila sebahagian daripada sebuah platform kayu tiba-tiba runtuh, mengakibatkan lebih 300 orang cedera termasuk sembilan parah, kata beberapa pegawai semalam.

Platform tepi pantai sepanjang 30 meter dan lebar 10 meter itu penuh dengan orang ramai yang menonton seorang artis rap di bandar Vigo, barat laut Sepanyol apabila binaan tersebut runtuh sebelum tengah malam kelmarin, kata datuk bandar tempatan, Abel Caballero kepada pemberita di lokasi kejadian.

Pekerja-pekerja penyelamat dilengkapi kamera infra merah menggeledah kawasan itu selama tiga jam untuk memastikan bahawa tiada mangsa masih terperangkap, sementara pasukan penyelam turut melakukan pencarian di laut berdekatan, katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Polis memindahkan orang ramai dari tempat kejadian dengan amat pantas. Terdapat dua orang terperangkap di bawah serpihan. Anggota-anggota bomba terpaksa mengeluarkan mereka,” katanya dalam satu wawancara bersama stesen televisyen awam Sepanyol, TVE.

Datuk bandar itu berkata, punca geladak itu runtuh masih tidak jelas tetapi platform itu dibina dalam tahun 1990-an.

Bagaimanapun, akhbar harian  El Faro de Vigo menyatakan bahawa insiden itu berlaku sejurus selepas artis rap Sepanyol, Rels B meminta penonton supaya melompat pada permulaan konsertnya.

“Lantai itu lerai dan kami jatuh seperti lif turun ke bawah. Semuanya berlaku dalam masa lima saat,” kata seorang penonton konsert, Aitana Alonso kepada akhbar berkenaan.

Kerajaan wilayah Galicia yang mentadbir bandar Vigo menyatakan bahawa seramai 316 orang cedera dalam kejadian itu termasuk sembilan orang yang parah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN