Jangan khuatir pengeluaran udang - Utusan Malaysia

Jangan khuatir pengeluaran udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 13 Ogos – Jabatan Perikanan berharap orang ramai tidak khuatir terhadap pengeluaran udang dari sumber akuakultur berikutan sebuah video tular mengenai objek seperti cacing di bahagian kepala udang baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perikanan memberitahu, seperti ditunjukkan pada video berkenaan, objek putih seperti cacing yang dikeluarkan dari bahagian kepala spesimen udang tersebut diyakini bukan cacing.

Sebaliknya, menurut jabatan itu, objek tersebut merupakan kelonsong spermatozoa (spermatid) dari udang matang jantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan bahasa slanga yang digunakan berkemungkinan video tersebut adalah dari luar negara,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Sementara itu, kenyataan tersebut menjelaskan, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil kepala udang secara berlebihan kerana bahagian berkenaan mengandungi perut utama yang menerima dan menyimpan pelbagai sumber organik.

Bahagian Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan jelas kenyataan itu, telah meneliti video tersebut dan mendapati spesimen udang di dalam video itu merupakan spesimen udang laut dari jenis udang putih Penaeus vannamei (white leg shrimp).

Berdasarkan warna, tambahnya, ia adalah udang yang diternak berusia sekitar 120 hingga 150 hari, bersaiz antara 30 hingga 50 gram berat badan dan telah mencapai umur matang untuk pembiakan.

“Udang putih Penaeus vannamei adalah bukan spesies natif di perairan Malaysia dan ianya berasal dari perairan Latin Amerika khususnya di Mexico dan Peru.

“Sejak tahun 2004, spesies ini diternak secara meluas melalui aktiviti akuakultur di Asia Tenggara dan kini merupakan spesies udang ternakan dan produk eksport utama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN