KOTA KINABALU 13 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 11 rakyat Filipina ketika cuba masuk ke negara ini secara haram melalui perairan Kudat pada pukul 10 malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Leftenam Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu yang menaiki sebuah bot pam ditahan pada kedudukan 2.6 kilometer dari Tanjung Inaruntung, Pitas.
“Kesemua suspek dalam perjalanan dari Pulau Kagayan, Filipina dan ditahan semasa penugasan Op Pluto.
“Mereka yang berumur antara dua hingga 54 tahun daripada enam lelaki dan lima perempuan termasuk dua kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, bot yang digunakan tidak berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah manakala siasatan dibuat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
“Pihak Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi membanteras serta mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











