Jaringan ada agenda tersembunyi - Utusan Malaysia

Jaringan ada agenda tersembunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Ogos – Kerajaan Pas Kelantan menyifatkan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NG0) yang mempunyai agenda tersembunyi berhubung dakwaan kononnya berlaku pencerobohan tanah masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Jaringan juga bukan sebuah NGO berdaftar yang sering mendakwa mereka sebagai pertubuhan mewakili masyarakat Orang Asli.

“Masalahnya sekarang bukan dengan semua Orang Asli, yang bising-bising ni Jaringan. Sudahlah tidak berdaftar selepas itu mendakwa mewakili Orang Asli.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berapa ramai Orang Asli yang bersama dengan mereka? Kita difahamkan NGO berkenaan ada agenda tersembunyi sebab itulah saya terus terang, susah kita hendak berbincang dengan mereka.

“Ini kerana, sebagai kerajaan negeri kita perlu mengutamakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebab mereka komuniti yang diiktiraf. Malah, lebih menjadi isu apabila Jaringan sendiri tidak mengiktiraf Jakoa,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perjumpaan seramai 220 Orang Asli dari Gua Musang yang berjaya bertemu dan mengemukakan aduan berhubung kemelut tuntutan tanah adat mereka kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, berlaku banyak salah faham berhubung isu tanah adat dengan dasar kerajaan negeri sedia ada.

“Tanah adat memang tiada di Semenanjung seperti yang dijelaskan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan semalam. Ini kerana, istilah tanah adat hanya digunakan di Sabah dan Sarawak.

“Namun begitu, kerajaan negeri tetap mengiktiraf hak penduduk Orang Asli di negeri ini dengan mewartakan kawasan tersebut mengikut keputusan yang telah ditetapkan mahkamah sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN